putera izman

hanya sekadar perkongsian

Tanda-tanda Disantau

Santau adalah istilah penyakit yang terkenal dalam masyarakat Melayu, khususnya di Nusantara. Penyakit yang tergolong dalam nama santau itu wujud.

Penyakit itu biasanya dikenali berdasarkan tanda-tanda zahir yang dialami oleh pesakit. Contohnya batuk berpanjangan, berbulan-bulan, kadang-kadang mengambil masa bertahun, dengan menggunakan pelbagai ubat, tetapi batuk tidak hilang.

Ada juga yang batuk mengeluarkan darah, hilang selera makan, badan kurus kering, kulit berkedut-kedut, kuku kebiru-biruan, disekeliling mata juga kebiru-biruan, tidak bermaya, sejuk kaki tangan khususnya pada petang hari, murung, tidak ceria dan sebagainya.


Penyakit sedemikian tidak semestinya santau. Ia boleh berlaku sedemikian dengan sebab fizikal yang lain, mungkin kerana dia bermasalah penyakit paru-paru rosak atau tonsil kronik atau sakit TB, keracunan dan sebagainya.

Pesakit jenis ini biasanya akan terubat dengan doktor pakar. Mungkin kerana sudah diubati tetapi tidak sembuh, maka mereka beralih kepada rawatan alternatif.

Salah satu yang sering dirujuk ialah bomoh santau atau perawat-perawat lain. Kebanyakan pengubat akan memberitahu pesakit itu bahawa dia terkena penyakit santau.

Ertinya ada orang bagi dia makan sesuatu, atau dia memakan ramuan yang di dalamnya ada santau.

Apa dia santau? Saya sendiri tidak tahu apa dia sebenarnya. Cuma hasil daripada percakapan banyak orang, kononnya santau diperbuat dari bahan yang amat-amat bisa.

Dikatakan ia diperbuat daripada bulu ulat bulu yang mati merana (meragan), dicampur dengan bisa ular, lipan atau kala jengking dan dicampur dengan kaca halus daripada bal lampu kalimatang yang ditumbuk halus.

Selepas itu ia dikatakan melalui proses adunan tersendiri dan dikeringkan, dijadikan serbuk untuk diletakkan dalam makanan atau minuman. Ini adalah cerita lisan, tiada orang yang boleh mengesahkan ia adalah santau yang sebenarnya.

Kalaupun ada yang membuat santau, tentulah dia merahsiakannya dan tidak mungkin dia mendedahkan rahsianya kepada orang.

Adakah orang yang sanggup membuatnya untuk menganiayai orang lain? Semata-mata dengan sedikit bayaran dunia, tidak kah mereka takut kepada dosa dan sebagainya?

Zaman ini manusia menjadi makhluk yang serba boleh, serba jadi. Misalnya mereka sanggup mendera isteri, mendera orang gaji, membunuh diri, keluarga dan rakan, serta melakukan pelbagai kemusnahan.

Manusia menjadi haiwan, malah lebih teruk daripada haiwan. Apakah itu (menggunakan santau) tidak dikatakan sebagai manusia kerana wang atau kerana hendak memuaskan hati?

Oleh santau adalah salah satu daripada kekejaman manusia. Yang penting tanda-tanda penyakit tadi jelas, orang itu sakit, setiap sakit ada ubatnya.

Berubatlah dengan cara yang betul, apabila Allah bukakan ruang kesembuhan, insya-Allah kena ubatnya, penyakit akan sembuh.

Sering kita dengar ada orang yang boleh membeli santau daripada orang tertentu dan sebagainya, itu adalah kata orang, anda jangan mudah mempercayainya.

Oleh yang demikian, berdoalah kepada Allah agar kita selamat dari kedengkian manusia.

Wallahu a'lam.

(Petikan dari Akhbar Harakah Bil1340, Ruangan Bersama Ustaz Dr. Haron Din)



Perhatian:
1,jika anda suka artikel ini sila klik like
2.jika anda rasa artikel ini dapat memberi manfaat sila sharekan
3.jika inginkan artikel terbaru terus dihantar ke email anda sila langgan dan dapatkan hadiah percuma
0 Komentar untuk "Tanda-tanda Disantau"

 
Copyright © 2014 putera izman - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info